Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam, saya bercadang ingin berniaga dan menjual cecair atau ejuice untuk vape dan rokok elektronik. Tetapi, saya ada terbaca tentang fatwa yang mengatakan pengunaan vape/rokok elektronik adalah haram: Fatwa: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/10333 Jika saya hanya menjual cecair/ejuice vape dan rokok elektronik ini, adakah sumber dan hasil keuntungan yang saya dapat ini dikira haram? Adakah rezeki dari perniagaan vape tersebut tidak berkat untuk diri saya dan keluarga saya? Saya lihat masih ramai penjual dalam kalangan umat islam di negara ini yang aktif menjalankan perniagaan vape.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2016 yang bersidang pada 19 Januari 2016 bersamaan 9 Rabiulakhir 1437H berkaitan Pengharaman Rokok Elektronik Dan Vape, memutuskan bahawa: Penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap rokok elektronik dan vape atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan rokok elektronik dan vape. Oleh itu, berdasarkan fatwa yang telah diputuskan di atas, jual beli vape atau sesuatu yang berkaitan dengannya adalah termasuk jual beli yang diharamkan. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِذَا حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ Maksudnya : “Sesungguhnya jika Allah telah mengharamkan sesuatu, maka haramlah upah (hasil penjualannya)”. (Riwayat Ahmad) Faktor keberkatan rezeki yang diperoleh adalah dipengaruhi oleh banyak perkara, antaranya adalah bagaimana rezeki tersebut diperoleh, ke mana rezeki tersebut dibelanjakan, keberkatan juga bergantung kepada ketaatan seorang hamba dalam mematuhi segala suruhan Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya. Adalah amat mustahil seseorang akan mendapat keberkatan dari sesuatu yang telah diharamkan. Beralih kepada perniagaan yang tidak tergolong di dalam perkara-perkara yang syubhah dan haram adalah lebih baik demi menggapai redha Allah serta mengharapkan keberkatan dari sumber rezeki yang halal. Hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man Ibnu Bashir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimanapun di antara keduanya terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah), yang mana ramai orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.