Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Bapa telah meninggal dunia. Kemudian tanah diambil alih oleh anak-anak lelaki perempuan dan balu sebagai penama dalam geran. Setelah itu, tanah telah dimajukan dan mendapat hasil dalam wang ringgit. Persoalannya adalah, hasil dari pendapatan itu boleh kah difaraidkan atau dibahagikan sama rata. Dan juga di kenakan zakat pendapatan? Soalan kedua, bapa telah meninggal dan meninggalakn sejumlah wang simpanan. Wang simpanan ini tidak difaraidkan bahkan tidak dibahagi samarata antara adik beradik. Wang tersebut digunakan hanya untuk anak perempuan sahaja tanpa pengetahuan anak lelaki. Apakah hukum tersebut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, apabila berlaku kematian, adalah menjadi tanggungjawab waris yang hidup untuk menguruskan segala harta peninggalan si mati mengikut hukum syarak iaitu: 1. Membayar segala hutang si mati menggunakan harta peninggalan simati. 2. Melaksanakan segala wasiat si mati berkaitan hartanya (tidak melebihi 13). 3. Lebihan dari kedua perkara tersebut wajib difaraidkan mengikut pembahagian yang telah ditetapkan di dalam Islam. Tanah yang ditinggalkan oleh si mati adalah menjadi milik setiap ahli waris yang berhak mewarisi mengikut hukum syarak, tanah itu juga bukanlah milik penama di atas geran kerana penama hanya pemegang amanah. Oleh itu, sebarang hasil yang datang dari tanah tersebut perlu dibahagikan kepada setiap waris yang berhak mendapat bahagiannya sebagai ahli waris. Dan wajib zakat seandainya memenuhi syarat. Begitulah juga wang simpanan yang ditinggalkan oleh arwah bapa, wang tersebut wajib dibahagikan mengikut hukum faraid sebagaimana yang telah disyariatkan di dalam Islam, jika semua ahli waris bersetuju, maka wang tersebut bolehlah dibahagikan sama rata di antara ahli waris. Bagi mengelakkan masalah menjadi semakin rumit semua harta peninggalan si mati mestilah dibahagikan mengikut kiraan faraid secepat mungkin, boleh rujuk ke Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri untuk maklumat lanjut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.