Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Saya mempunyai soalan berkenaan harta pusaka. Arwah abah saya telah meninggal pada beberapa tahun yang lalu, bapa saya adalah seorang peneroka yang mempunyai 6 orang anak perempuan. sebelum ini bapa saya pernah berkhawin dan bercerai dan mempunyai 5 orang anak yang telah berkhawin serta bekas isteri yang juga telah berkahwin dengan orang lain. Setelah 5 tahun bercerai dengan bekas isteri, arwah abah telah berkhawin lagi dengan isteri sekarang selama 21 tahun sehingga arwah meninggal dan mempunyai seorang anak berusia 20 tahun yang belum berkahwin serta seorang balu. Maka, disini la bermulanya persoalan saya, isteri sekarang arwah abah telah menolak segala harta pusaka yang berkaitan felda kerana isu "ibu tiri dan anak tiri yang tidak sehaluan". Namun jauh sebelum arwah abah meninggal, dia ada membelikan sebuah rumah untuk isterinya yang sekarang dan diletakkan diatas nama isteri tersebut. Permasalahannya adalah anak-anak kepada bekas isteri arwah mempertikaikan keberadaan rumah tersebut. walhal rumah tersebut telah dibeli oleh arwah semasa dalam keadaan sangat sihat. kemungkinan 5 hingga 6 tahun sebelum arwah meninggal tanpa sepengetahuan anak-anaknya yang bersama bekas isteri. Tujuan dia membelikan rumah tersebut adalah untuk isterinya yang sekarang tinggal sekiranya dia meninggal dunia. Sekarang anak-anak arwah telah mengetahui keberadaan rumah tersebut dan mempertikaikannya. sekiranya rumah tersebut dijual anak-anak arwah meminta duit dari jualan tersebut sedangkan rumah tersebut adalah salah satu nafkah yang arwah beri kepada isteri untuk kebajikan isteri sekiranya arwah meninggal. Saya berharap pihak tuan dapat memberi sebarang nasihat kerana masalah ini cukup menjadi tekanan hebat kepada balu arwah. terima kasih. assalmualaikum..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, berkenaan dengan rumah yang telah diberikan kepada isterinya sekarang semasa arwah masih hidup adalah merupakan hibah. Dan ia telah menjadi hak milik isteri tersebut. Tidak boleh dijual tanpa kebenaran pemiliknya. Manakala, bekas isteri (ibu tiri) tidak mempunyai hak ke atas harta pusaka arwah kerana telah diceraikan semasa arwah masih hidup. Justeru, pembahagian harta pusaka arwah yang lain adalah kepada warisnya iaitu balu dan anak-anaknya yang masih hidup termasuk anak-anak dengan bekas isterinya yang perlu diselesaikan. Jika keadaan ini masih tegang adalah dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat pengurusan faraid melalui Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri yang berhampiran untuk penjelasan lanjut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.