Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaukum wbt Tuan Mufti, Merujuk kepada perkara di atas, saya ingin membuat pertanyaan dan berharap pihak tuan dapat memberi penjelasan mengenai persoalan saya seperti berikut: Adik saya, warganegara Malaysia telah bernikah dengan isterinya, seorang warganegara Indonesia pada 10 Ogos 2018 di Daerah Babalan, Langkat, Sumatera Utara, Indonesia. Walau bagaimana pun, adik saya telah meninggal dunia pada 3hb September 2019 di Putrajaya. Keluarga kami tidak dimaklumkan mengenai perkahwinan ini sehinggalah tarikh kematian arwah. Kami mendapat tahu bahawa arwah adik saya tidak membuat pendaftaran/pengesahan penikahan mengikut undang-undang syariah Malaysia Arwah mempunyai seorang anak tidak sah taraf, yang lahir pada 14hb Disember 2018 di negara Brunei Persoalan saya adalah seperti berikut: 1) Adakah isteri arwah adik saya berhak mendapat pembahagian faraid? 2) Adakah anak tersebut layak mendapat pembahagian faraid? 3) Adakah anak tersebut perlu diberi nafkah bulanan? 4) Menurut isteri arwah, mas kahwin bagi perkahwinan mereka masih belum di bayar. Adakah waris perlu membayar mas kahwin tersebut? Jika perlu dibayar, bolehkah kami menggunakan duit peninggalan/sumbangan yang diterima semasa arwah meninggal dunia? 5) Isteri arwah ada membuat tuntutan berjumlah RM2,855.00. Menurut isterinya, tuntutan ini adalah bagi menebus semula gadaian rantai dan cincin yang telah dibuat oleh arwah pada 9hb Mac 2019 di Indonesia. Berdasarkan resit gadaian yang dikemukakan kepada kami, nama pihak yang menggadai adalah nama isteri arwah. Adakah kami perlu menjelaskan hutang tersebut
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Isteri arwah adik berhak mendapat pembahagian harta pusaka kerana beliau adalah isterinya yang sah (pernikahan didaftarkan di Indonesia). Pernikahan mereka walaupun belum didaftarkan di negara ini, tetapi telah mendapat kebenaran berkahwin luar negeri Selangor yang dikeluarkan oleh Pendaftar, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling. 2. Anak tersebut tidak layak mendapat pembahagian harta pusaka kerana ia adalah anak tidak sah taraf dari segi syarak dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya. Adapun, anak itu kelak hanya boleh mewariskan harta pusaka sebelah ibunya sahaja. 3. Tanggungan nafkah dan penjagaan bagi anak yang tidak sah taraf adalah kepada ibunya dan keluarga sebelah ibunya sahaja. (http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/State_Enact_Upd.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/56355eca46d6cf9248257115000d6a34?OpenDocument) 4. Jika ada pengakuan tersebut, waris bolehlah membayarkan mas kahwinnya. Boleh menggunakan wang sumbangan orang ramai yang diterima semasa arwah meninggal dunia. 5. Bagi memudahkan urusan agar tidak berpanjangan, sebaiknya waris bolehlah menjelaskan hutang gadaian yang melibatkan arwah kepada isterinya menggunakan harta peninggalan arwah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.