Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. saya ingin bertanya apa hukum memakai barang kemas yang terdapat ukiran atau gambar makhluk bernyawa?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, memakai barang kemas yang terdapat ukiran atau gambar makhluk bernyawa adalah dilarang. Islam melarang umatnya memakai perhiasan yang mempunyai ukiran haiwan atau makhluk yang bernyawa. Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu al-Hassan, katanya yang bermaksud; “Seorang lelaki menemui Ibnu ‘Abbas lalu berkata, sayalah orangnya yang membuat gambar-gambar ini dan berilah fatwa tentangnya kepadaku. Kata Ibnu ‘Abbas, dekatlah kepadaku lalu dia mendekatinya. Ibnu ‘Abbas berkata lagi dekatlah kepadaku dan dia mendekatinya pula sehinggalah Ibnu ‘Abbas meletakkan tangannya di atas kepala lelaki tersebut sambil berkata, aku memberitahu engkau sabda yang aku dengar daripada Rasulullah SAW. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Setiap pembuat gambar berada di dalam neraka dan setiap gambar yang dibuat, Allah memberikannya nyawa lalu ia menyiksa pembuatnya dalam neraka Jahanam”. Kata Ibnu ‘Abbas, “Jika kamu terpaksa membuat gambar buatlah gambar pokok dan sesuatu yang tidak bernyawa.” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.