Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ade kemusykilan, saya baru mendapat perkerjaan di sebuah syarikat yang secara amnya dalam bidang hospitality and services. syarikat ini mempunyai beberapa anak syarikat salah satunya restaurant. Selepas saya memulakan kerja baru saya mendapat tahu yang restaurant itu ada menjual arak. Saya pekerja di bahagian akaun parent company ni, semua urusan akaun anak anak syarikat ini di buat oleh parent company. Secara tidak langsung saya juga ada menguruskan account kepada restaurant tadi. Soalan saya, adakah haram saya bekerja di parent company ni? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, bekerja di Parent Company tersebut hukumnya adalah harus. Tetapi, oleh kerana saudari sudah tahu syarikat tersebut juga terlibat dengan urusniaga hasil jualan arak di restoren mereka, maka ia menjadi syubhah. Secara tidak langsung saudari juga melibatkan diri dalam perkara yang diharamkan syarak (arak). Justeru, ia hendaklah dielakkan. Allah SWT berfirman; يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (al-Maidah : 90) Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَه Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Riwayat al-Tirmidzi) Memandangkan saudari bekerja di bahagian akaun Parent Company itu, sebaiknya saudari bolehlah berbincang secara harmoni dengan pihak syarikat terlebih dahulu agar penjelasan dapat diberikan tentang pengharaman penglibatan kakitangan Muslim di dalam urusan (urusniaga) yang berkaitan arak. Cadangan bagi pengasingan secara total adalah meliputi:- i. Pengasingan akaun (urusniaga arak dan bukan arak). ii. Pengasingan kakitangan dibahagian kewangan. Sebaiknya urusniaga berkaitan arak diserahkan kepada pekerja yang bukan muslim. iii. Gaji kakitangan muslim dari akaun yang patuh syariah (Syariah Compliance). iv. Orang Islam tidak melibatkan diri dalam kerja-kerja akaun yang berkaitan dengan arak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.