Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam, saya ingin bertanya tentang nafkah zahir. Isteri saya bekerja profesional dan berkeinginan untuk memiliki rumah besar dan selesa. Sekarang ini kami hanya duduk di rumah sewa yang saya bayar. Saya cuma menjalankan bisnes dengan sales tidak lebih dari Rm1.5k. Lepas berbincang semalam, dia kata dia sanggup membayar sendiri rumah besar itu tanpa minta duit dari saya dan saya cuma perlu bayar bil air elektrik sahaja. Apakah tanggungan nafkah pula pada saya, adakah saya akan berdosa jika saya penuhi kehendak dia dari segi nafkah tempat tinggal? Atau dia perlu mengikut saya duduk di rumah yang saya saja mampu membayarnya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, Islam menggariskan tanggungjawab suami dan isteri sebagai panduan untuk hidup bahagia, berkasih-sayang serta beroleh kerahmatan. Nafkah untuk keperluan asas seperti tempat tinggal, pakaian serta makan minum adalah menjadi tanggungjawab suami. Isteri pula perlu patuh dan taat kepada suami selama tidak menyuruh berbuat kemungkaran. Termasuk dalam pengertian patuh ialah redha dan menerima seadanya terhadap keupayaan suami. Bagi situasi tuan, kesediaan isteri untuk membiayai rumah mengikut kehendaknya patut dihargai. Lebih-lebih lagi ia dibuat setelah diadakan perbincangan. Termasuklah kedudukan isteri yang keluar bekerja, tentunya dengan keizinan suami, bagi menanggung perbelanjaan membangunkan keluarga secara bersama. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.