Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan, saya mempunyai soalan berkaitan pelaburan. Adakah pelaburan ASB dibolehkan atau sebaliknya. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3/2017 yang bersidang pada 27 April 2017 bersamaan 30 Rajab 1438H memutuskan bahawa: i. Hukum pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus kerana peratusan pelaburan dalam syarikat patuh syarak telah melepasi 66% mengikut piawaian Suruhanjaya Sekuriti. Pengharusan ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah iaitu ; الحكم يدور مع علته وجودا وعدما ertinya: “Hukum Berubah Menurut Perubahan ‘Illah (sebab)”; ii. PNB hendaklah meneruskan usaha-usaha penambahbaikan bagi memastikan pelaburan tersebut menepati syarak sepenuhnya; dan iii. Keharusan hukum pelaburan ini akan dikaji semula selepas 3 tahun dan sekurang-kurangnya peratusan pelaburan patuh syarak melebihi 75%. Rujukan fatwa: http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa-xwarta/2016/685-fatwa-pelaburan-pemrodalan-nasional-berhad-pnb والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.