Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum suami mencederai & menyakitkan isteri dengan tujuan isteri mengikut kata ?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, suami yang mencederakan dan menyakiti isterinya hukumnya adalah berdosa. Dalam menasihati isteri, suami hendaklah menggunakan cara yang lembut dan berhikmah, serta kasih sayang. Adapun, bagi isteri yang nusyuz iaitu yang ingkar dan tidak mendengar kata suaminya agar mengikut perkara yang disuruh oleh syarak, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”. (An-Nisaa' : 34) Suami berkewajipan mendidik isteri supaya faham agama agar dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri, termasuklah mentaati suami dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syarak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.