Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Tuan, apakah yang perlu dilakukan oleh seorang suami yang taat apabila mengetahui isterinya curang dan sering berzina dengan lelaki lain juga merupakan suami orang? Dayus kah suami berkenaan sekiranya tidak menceraikan isterinya tersebut? Apakah hukumnya sekiranya suami tadi bertahan demi anak-anak tetapi dalam masa yg sama dia sendiri hidup tertekan kerana sering teringat perbuatan terkutuk isterinya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, bagi pasangan suami isteri, keutamaan ketaatan adalah dari seorang isteri kepada suaminya. Isteri hendaklah patuh dan taat kepada suaminya selagi mana ketaatan itu bukan kepada perkara yang menyalahi syarak. Seorang suami wajib menegur, menasihati dan memberi arahan agar isteri bertaubat nasuha dan tidak mengulangi perbuatan zina. Jika dibiarkan, suami akan termasuk sebagai dayus. Jika isteri tidak mahu bertaubat dan berterusan melakukan zina, serta melakukan perbuatan keji mengikut pandangan Hukum Syarak, maka perceraian adalah jalan yang terbaik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.