Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum WBT, Saya punya kemusykilan dan pertanyaan berkenaan dengan perihal anak angkat/keluarga angkat. Ada anak angkat yang diambil dan dibela sejak berumur 3 hari oleh sepasang suami isteri yang tidak mampu mempunyai zuriat kerana masalah kesihatan. Anak itu dibela, dibesarkan, disayangi, ditatang sehinggalah dia dewasa dan telah berkahwin. Sepanjang kehidupan mereka, ibu bapa angkat dan anak angkat itu saling membahagiakan satu sama lain dan tidak pernah mengungkit istilah anak-ibubapa angkat. Soalan saya; sekiranya ibu bapa angkatnya meninggal dunia, atau si anak angkat ini yang meninggal dunia, adakah mereka ini dapat bertemu dan bersama lagi di 'alam kekal' sana seperti sebuah keluarga kandung yang lain?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, berkenaan urusan kehidupan di akhirat kelak di antara anak angkat dan ibu bapa angkat sama ada dapat bertemu semula sebagai sebuah keluarga, hanya Allah SWT sahajalah yang dapat menentukannya. Ini kerana manusia tidak mengetahui perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia), dan apa yang di belakang mereka (dari perkara akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi”. (Taha : 110) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.