Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz. Saya ingin bertanya, saya sangat rapat dengan kedua-dua ibu bapa saya. Kalau dilihat pada luaran, keluarga saya ini sangat bahagia dan tampak sentiasa harmoni. Tapi sebenarnya Ustaz, ada sahaja permasalahan yang saya rasa normal di dalam sebuah keluarga. Cuma disebabkan saya sangst rapat pada kedua ibu bapa saya dan saya sayang keduanya, saya rungsing juga dengan sikap ibu saya yang sering mencari kesalahan ayah saya ataupun mengungkit hal lama. Saya sayangkan ibu saya, saya tidak suka ibu saya mengungkit-ungkit kesalahan ayah saya, bukan disebabkan saya pilih kasih / bias, tetapi saya takut ibu saya tidak akan dapat redha Allah. Memang ibu saya banyak berkorban untuk keluarga. Sewaktu saya kecil, ibu seorang yang lemah lembut, tidak mengeluh.Tetapi mungkin banyak yang dipendamnya membuatkan dia jadi seorang pemarah dan suka mengungkit-ungkit. Ayah saya juga dahulunya panas baran (tekanan kerja) tetapi dia sudah banyak berubah. Bagi saya, semua orang ada masalah, cara kita urus sesuatu masalah yang membuatkan diri kita berbeza. Saya banyak nasihatkan ibu, tapi alih-alih saya pula kena marah. sudahlah kena marah, ibu saya tuduh saya selalu melebihkan ayah saya / bias. Saya pun pening. Saya sayangkan ibu saya dan saya harap dia diangkat menjadi wanita yang terbaik yang tempatnya adalah syurga Firdaus. Tapi saya bimbang sikapnya yang suka mengeluh, mengungkit tentang ayah saya walaupun dia seorang yang alim juga. Apa yang perlu saya buat agar keadaaan tidak menjadi lebih kronik dan kami tidak termakan dengan tipu daya syaitan yang suka memecahbelahkan rumahtangga.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, alhamdulillah saudari merupakan anak solehah yang sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan kedua ibu bapa. Teruslah berdoa untuk keduanya terutama ibu saudari. Jangan berputus asa untuk berusaha secara baik merubah sikap ibu supaya ibu tidak berterusan mengungkit atas segala pengorbanan yang telah dilakukan untuk keluarga. Mudah-mudahan ibu saudari akan sedar daripada sikapnya yang mungkin terbit kesan daripada tekanan yang dihadapinya pada masa lalu ketika menguruskan hal ehwal keluarga. Bersabarlah dengan situasi yang ada dan teruskan berdoa kepada Allah SWT supaya melembutkan hati ibu. Sesungguhnya kita hanya boleh berusaha, sedangkan yang menentukan kejayaannya adalah Allah SWT. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.