Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: saya ingin bertanya, adakah solat sunat saya diterima sepenuhnya/didengar oleh tuhan jika sekiranya solat 5 waktu saya masih ada yang kurang? saya sedang cuba membaiki diri untuk cukupkan solat 5 waktu dan buat solat hajat, tahajud di waktu malam, akan tetapi saya selalu merasa was-was kerana solat 5 waktu saya pun kadang-kadang tidak mencukupi. Mohon bantu saya dengan jawapan yang padat dan ringkas dan mudah difahami. terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui setiap amalan yang dilakukan oleh hambaNya walaupun sekecil zarah. Begitu juga dengan ibadah solat. Bagi solat fardhu yang masih kurang, ia tidak boleh diganti dengan melakukan solat-solat sunat. Mendirikan solat fardhu 5 waktu sehari semalam adalah wajib. Justeru, jika masih tidak cukup atau kurang 5 waktu, wajib diqada’. Bagi mengelakkan was-was, puan boleh membuat catatan harian mendirikan solat agar dapat mengatasi kekurangan tersebut. Adapun, melakukan solat sunat hukumnya adalah sunat. Latih diri untuk cukupkan solat yang wajib dahulu, disamping melakukan solat-solat sunat yang lain. Semoga terus istiqomah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.