Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: 1. Hukum melewatkan solat dengan sengaja. Contohnya sekarang waktu asar cepat. Jadi solat zohor dihujung waktu agar dapat lakukan solat Asar sekali. 2. Sekiranya wanita yang masih dalam iddah (kematian suami) , tidak boleh bersendirian dan sentiasa bersedih hingga tidak sihat keluar berjalan dengan niat untuk menenangkan fikiran.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan; 1. Perbuatan sengaja melewatkan solat zuhur tidak sewajarnya diamalkan. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan seseorang cuai atau terus tertinggal solat atau solat dalam keadaan tergesa-gesa dihujung-hujung waktunya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama, maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya” (al-Maa'uun : 4 - 5) Seterusnya ia bertentangan dengan suruhan Nabi SAW agar mengutamakan solat di awal waktu, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Al Qasim bin Ghannam dari bibinya Ummu Farwah dan dia termasuk orang yang ikut serta berbaiah kepada Nabi SAW bahwasanya ia berkata; “Nabi SAW pernah ditanya, “Amalan apakah yang paling utama?” baginda menjawab: “Solat pada awal waktu.” (Riwayat al-Tirmizi) 2. Adalah harus bagi wanita yang sedang beriddah untuk keluar dari rumahnya kerana tujuan tersebut, dengan batas yang digariskan oleh syarak. Terdapat nas yang diriwayatkan daripada Mujahid katanya yang bermaksud : “Ramai kaum lelaki syahid di dalam peperangan Uhud. Beberapa orang wanita yang tinggal berjiran dan suami mereka syahid datang mengadu kepada Rasulullah SAW. Mereka berkata” : “Ya Rasulullah, kami berasa sunyi di waktu malam. Bolehkah kami tidur di rumah salah seorang daripada kami? Apabila siang, kami masing-masing pulang ke rumah kami?”. Baginda menjawab : “Bercakaplah di rumah salah seorang kamu semahunya. Apabila kamu hendak tidur, pulanglah ke rumah masing-masing”. (Riwayat al-Baihaqi) Hadith ini menunjukkan bahawa harus keluar rumah, dengan syarat waktu siang sahaja, dan mesti ditemani dengan mahramnya. Wanita yang kematian suami bukan sahaja wajib beriddah, malahan wajib berihdad (berkabung), iaitu meninggalkan perbuatan berhias-hias atau apa-apa yang boleh menarik dan menjadi tumpuan orang ramai. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.