BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Yang Berbahagia Mufti, Saya ada sedikit persoalan mengenai status taklik yang saya buat. Saya pernah bertaklik kepada isteri saya 4 tahun lalu bahawa jika saya mencarut kepadanya maka akan jatuh talak 1. Maksud taklik saya ialah jika saya mengeluarkan perkataan mencarut bertujuan untuk merujuk kepada isteri saya seperti contoh, 'Celaka kamu'. Semasa kami bergaduh baru-baru ini, saya dengan rasional mengeluarkan kenyataan dalam aplikasi Whatsapp seperti ini kepada isteri saya, 'Saya rancang semua itu untuk awak. Now fuck it'. Pekataan mencarut 'fuck it' itu merujuk kepada semua yang saya rancang itu dan bukannya merujuk kepada isteri saya. Isteri saya mengatakan yang saya mencarut kepada dia dan taklik saya sudah terjatuh. Saya sudah menjelaskan kepadanya bahawa saya tidak merujuk perkataan mencarut itu kepadanya sebaliknya merujuk kepada rancangan yang saya hendak buat untuknya. Maksud kenyataan yang saya keluarkan ialah, 'saya sudah rancang macam-macam untuk awak. Sekarang pergi mampus semua itu'. Semasa melafazkan kenyataan itu, saya dalam keadaan waras dan berakal dan faham akibat jika saya mencarut terhadap isteri saya. Saya faham kesalahan saya mencarut itu bukan sesuatu yang baik sebagai seorang suami. Mohon YB Mufti menjelaskan status taklik tersebut adakah dikira jatuh takilk tersebut. Terima kasih atas pencerahan YB Mufti.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, lafaz itu tidak jatuh taklik kerana lafaz itu tidak merujuk kepada isteri bahkan merujuk kepada perkara lain. Walaubagaimanapun, hal ehwal berkaitan dengan pembubaran dan pengesahan status perkahwinan hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Syariah yang berhampiran, ini berdasarkan Seksyen 56 Pendaftaran Penceraian, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Mencarut sangat bertentangan dengan akhlak dan adab Islam. Bahkan, amat jauh sekali daripada sifat seorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Larangan mencarut sebagaimana firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;” (al-Hujurat : 11) Disarankan sentiasa basahkan lidah dengan zikir dan selawat kepada nabi setiap hari. Membaca dan menghayati Al-Quran dengan penuh perasaan. semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlaku baik dan adil sesama makhluk serta memasukkan kita ke dalam syurga di akhirat nanti. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 79

message user image