Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ustaz, saya mempunyai masalah overthinking. Saya selalu terlebih fikir tentang sesuatu perkara selalunya hal-hal agama sehingga mengganggu urusan harian saya. Apa yang perlu saya lakukan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, berfikir itu tidaklah salah. Sedangkan Islam sendiri menyuruh umatnya untuk berfikir dan menggunakan akal yang dianugerahkan oleh Allah SWT ke arah kebaikan. Contohnya berfikir tentang kekuasaan Allah SWT melalui penciptaanNya. Namun, tidak semua perkara akal manusia mampu memikirkannya. Terdapat perkara-perkara yang diluar batasan akal manusia seperti zat Allah SWT, perkara-perkara ghaib atau disebut sam’iyyat, ibadah berbentuk ubudiah seperti kaedah berwudhuk, tatacara solat, puasa dan sebagainya. Islam tidak memberatkan umatnya untuk memikirkan perkara-perkara yang diluar kemampuan akal manusia memikirkannya. Kewajipan kita adalah beramal dengan apa yang difardhukan dan meninggalkan apa yang dilarang. Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran, mungkin boleh menjadi cara untuk kita tidak memikirkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jika terdapat persoalan tentang agama, berbincanglah bersama-sama dengan mana-mana ustaz yang diyakini keilmuannya. Dalam bidang psikologi, overthinking adalah satu perkara yang serius jika tidak dikawal. Bagi mengatasinya adalah dicadangkan untuk: 1. Sibukkan diri dengan melakukan perkara yang berfaedah dan memberi manfaat seperti membaca buku, bersukan dan sebagainya. 2. Berbicara dengan rakan-rakan atau sanak-saudara dalam perkara-perkara kebaikan. 3. Abaikan sebarang gangguan atau bisikan syaitan dengan tidak memanjangkan pemikiran terhadap perkara yang tidak memberi manfaat. Tarik nafas, mohon berlindung dengan Allah daripada gangguan syaitan, membaca surah-surah lazim seperti surah al-Nas, dan teruskan dengan membuat perkara kebaikan. 4. Sentiasa berdoa mohon kepada Allah SWT agar dijauhkan daripada sebarang penyakit dan gangguan syaitan. Firman Allah SWT : وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Fussilat : 36) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.