Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah dilarang perbuatan meminta jemaah umrah arau haji menyampaikan salam pada Rasullah S.A.W.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, salam adalah doa kesejahteraan kepada sesiapa yang kita tujukan. Begitu jugalah salam dengan Rasulullah SAW, kita akan beroleh rahmat dari Allah SWT sesuai dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Riwayat Muslim) Selawat juga boleh dilakukan sendiri tanpa dikirim melalui orang lain walau dimana pun mereka berada, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Bacalah selawat kepadaku kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu semua dapat sampai kepadaku di mana saja kamu berada .” (Riwayat Abu Daud) Justeru, harus berkirim salam sesama muslim, begitu juga halnya dengan berkirim salam kepada Rasulullah SAW. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.