Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz/Ustazah, Apakah hukum nya jika pasangan perempuan memberikan wang kepada pasangan lelakinya untuk dijadikan wang mahar nya semasa majlis akad nikah mereka. Ini adalah kerana pasangan lelaki tidak bekerja
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, pemberian wang daripada pasangan perempuan kepada pasangan lelaki untuk dijadikan mahar, hukumnya adalah harus. Pemberian itu dinamakan hibah/ hadiah. Jika tiada wang untuk dijadikan mahar sekurang-kurangnya pasangan lelaki boleh menyediakan barangan lain seperti al-Quran, persalinan solat, pakaian dan lain-lain. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA, katanya yang bermaksud: “Seseorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. NAbi SAW bersabda : Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata : Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda baginda SAW: Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian. Dia menjawab : Aku tidak memilikinya. Lalu baginda SAW bersabda lagi: Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi. Lelaki itu menjawab, dia tidak memilikinya. Baginda bersabda : Adakah ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal?. Dia menjawab: Ada sedemikian- sedemikian. Baginda pun bersabda: Aku nikahkan engkau dengan perempuan itu dengan mengajarkannya ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.