Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya apakah hukum seseorang itu membuat rawatan sulam bedak. terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sulam bedak atau mesoteraphy treatment merupakan satu proses rawatan kecantikan yang bertujuan untuk menegangkan serta meremajakan kulit wajah, menghilangkan bintik-bintik hitam atau bekas-bekas jerawat selain itu juga bertujuan mengurangkan lemak-lemak pada kulit dan menurunkan berat badan. Ringkasnya, ia adalah proses memasukkan bahan yang mengandungi pelbagai campuran vitamin, mineral serta serum ke dalam lapisan kulit. Sekiranya bahan yang digunakan mengandungi bahan yang terlarang hukum penggunaannya adalah dilarang (haram). Menggunakan rawatan ini bagi tujuan untuk menghilangkan aib atau apa-apa kecacatan yang mungkin memudaratkan pada individu adalah diharuskan. Bagaimanapun sekiranya ia bertujuan untuk menjadikan wajah lebih cantik sehingga mengubah kejadian asal ia adalah ditegah dan dilarang. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud Radhiallahu ‘Anhu yang bermaksud : “Allah melaknat orang yang melakukan tatoo, orang yang minta ditatoo, orang yang mencabut alisnya, orang yang minta dicabut alisnya, orang yang minta direnggangkan gigi-giginya dan orang yang merubah ciptaan Allah” . Ibnu Mas’ud R.A. berkata : “ Bagaimana saya tidak melaknat mereka yang dilaknat Rasulullah SAW?” (Muttafaqun ‘alaih) Bagi rawatan kecantikan yang bersifat tidak kekal, hanya sementara dan akan hilang dalam masa singkat seperti mengenakan inai dan celak, maka ia dibolehkan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.