Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam.. Soalan saya berkaitan dengan hukum urusan perniagaan perkhidmatan pakej perlancongan. Soalan saya, Apakah hukumnya menjalankan aktiviti melancong/ziarah ke luar negara yang dibuat sendiri (tidak didaftarkan perniagaan) dengan menganjurkan trip tertentu dengan cara mengumpul, mengiklan kepada kenalan, sahabat handai dsb.. Proses mencari peserta dibuat dengan mengiklankan atas nama kumpulan sendiri. Kemudian setelah dapat mengumpul beberapa peserta, beliau baru mencari agen tertentu bagi menguruskan trip beliau. Persoalannya, Beliau menguruskan trip ini atas nama team sendiri dan tidak memaklumlan nama agen mahupun kos sebenar yang dikenakan. Persoalannya, Apakah ini dibenarlan dan hukumnya hasil yang diperolehi atas perbezaan kos tersebut. Soalan yang ke 2, adakah menjadi kewajipan beliau perlu memaklumkan kepada peserta nama agen serta kos yang beliau tanggung memandangkan beliau mengatakan trip ini adalah trip yang diuruskan oleh beliau sendiri dan pihak peserta sedia maklum berkaitan tersebut dan peserta pun tidak pernah bertanya berkaitan nama agen yang dipilih dan mereka juga sedia maklum bahawa beliau sendiri yang menentukan agen mana yang akan diambil. Mohon penjelasan daripada pihak tuan..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, sememangnya dalam Islam menceburkan diri dalam bidang perniagaan adalah diharuskan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba” (al-Baqarah : 275) Prinsip asas dalam Islam adalah setiap individu bebas berjual beli berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu” (an-Nisaa' : 29) Kesimpulannya, pertama, apa yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut tidaklah melanggar syariat dalam urusan jual beli, bahkan perniagaan yang dijalankan ini bukan perniagaan barang keperluan asas dan pihak tuan boleh membuat pilihan dengan berurusan kepada syarikat yang lebih dipercayai. Berkaitan kos sebenar kebiasaannya mana-mana syarikat tidak menghebahkan kos sebenar operasi sesebuah produk dan yang pasti keuntungan itu adalah berasas walaupun syarikat mempunyai hak untuk mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Kedua, perniagaan yang bukan berbentuk keperluan asas seperti makanan dan lain-lain adalah menjadi tanggungjawab tuan untuk membuat survey atau kajian harga serta pakej berkaitan. Prinsip nya tiada berlaku penipuan, pemalsuan, monopoli dan memberi kesan buruk kepada masyarakat maka ia adalah harus. atau pihak tuan boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan syarikat-syarikat pelancongan di Kementerian Pelancongan Malaysia. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.