Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah terdapat zikir khusus mengikut hari?. Umpama hari isnin, selasa dan sebagainya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, berkenaan bacaan zikir mengikut hari-hari tertentu dan jumlah tertentu adalah amalan ulama’ muktabar. Ia disusun mengikut hari bagi memudahkan dan melatih diri dalam memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT. Walau bagaimanapun, berzikir dan mengingati Allah SWT tidaklah dibataskan dengan waktu dan jumlah tertentu, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan sebanyak-banyaknya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat)”. (al-Ahzaab : 41 - 43) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.