Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya mengalami kecelaruan minda yang menyebabkan terbatasnya beribadat kepada Allah kerana dalam fikiran ada perkara yang tidak sepatutnya difikiran seolah-olah seperti ada hasutan syaitan. Masalah ini menyebabkan saya mengambil langkah untuk sentiasa syahadah supaya sentiasa ingat Allah. Dengan itu, adakah cara yang terbaik untuk hilangkan masalah kecelaruan minda?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, saudara perlu sentiasa berusaha untuk membina kekuatan rohani. Amalan bersyahadah seperti yang saudara amalkan juga merupakan perkara yang baik dan perlu diteruskan dalam mengatasi masalah yang dihadapi. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Perbaharuilah iman kamu” Rasulullah ditanya : ”Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami?”. Rasulullah SAW menjawab : “Perbanyakkan berkata لا اله الا الله. (Riwayat Ahmad) Banyakkan berdoa dan beristighfar agar diri sentiasa dipelihara dan dirahmati Allah SWT dalam setiap pekerjaan yang dilakukan serta beristiqomahlah dalam setiap amalan soleh. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Fussilat : 36) Pada masa yang sama saudara juga boleh dapatkan rawatan alternatif atau berjumpa pakar psikatri di hospital untuk rawatan lanjut. Mudah-mudahan dapat membantu dalam mengatasi masalah kecelaruan minda yang dihidapi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.