Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. saya ingin bertanya, berdosakah saya jika saya tidak mahu berkahwin atas sebab penyakit saya yang mungkin memudaratkan perkahwinan saya(jika saya berkahwin). doktor menasihati saya supaya saya tidak stres supaya penyakit saya tidak merebak lebih banyak tempat. saya mempunyai penyakit kulit kronik iaitu psoriasis. dan saya telah menghidapinya selama 20 tahun. saya bimbang jika saya berkahwin, suami saya tidak menerima keadaan saya setelah beberapa lama berkahwin. begitu juga dengan keluarganya yang akan menghalang dapat wanita yang berpenyakit seperti saya. saya juga bimbang sekiranya saya ada keturunan dan keturunan saya menghidapi penyakit seperti saya. ia seolah-olah saya menganiaya beliau untuk hidup sihat. jadi saya ingin tahu, jika saya tidak kahwin atas sebab sakit saya, adakah ia berdosa?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, hukum berkahwin itu ada lima : wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Justeru, tidaklah berdosa jika saudari memilih untuk tidak berkahwin disebabkan alasan yang diberikan, sedang saudari juga tahu dan faham serta tidak menolak tentang syariat perkahwinan tersebut. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda: يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء. Maksudnya : “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.” (Riwayat Muslim) Namun, jika pakar perubatan mengesahkan bahawa ia tidak memudharatkan untuk berkahwin, maka berkahwin lebih afdhal khususnya jika ada lelaki yang sudi menerima. Ini untuk kelangsungan zuriat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.