BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Saya lahir pada tahun 1960, ibubapa asal berbangsa Cina. Saya telah diambil bela oleh orang Melayu lalu didaftarkan berbintikan nama bapa angkat. Sekarang saya dapat tahu bahawa ada hadis mengatakan yang orang seperti saya ini tidak akan berbau syurga. Persoalannya : bagaimana saya ingin merungkaikan keadaan ini? sepanjang hidup saya dan perkhidmatan saya dalam kerajaan, semuanya menggunakan nama yang tertera dalam Kad Pengenalan. Sekarang saya menerima pencen atas nama itu juga. Kad pesara, akaun bank, pemilikan rumah dan kereta, sijil nikah, sijil beranak anak-anak dan lain-lain lagi juga tercatat nama itu… Semoga tuan/puan dapat memberi saya jalan untuk mengeluarkan diri saya dari tergolong dalam golongan orang-orang yang tidak akan dapat bau syurga. Terima kasih


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, dalam Islam sememangnya nasab kepada anak angkat mestilah berbin/ bintikan kepada bapa kandungnya sendiri, sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah”. (al-ahzab : 5) Kata Imam al-Suyuti dan Imam al- Mahalli : “Ayat ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibnu Umar. Beliau berkata : Kami memanggil Zaid Bin Harithah dengan panggilan Zaid Bin Muhammad sehinggalah turun ayat yang melarang kami berbuat demikian.” Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang mengaku anak seseorang, sementara dia tahu bahawa itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram untuknya” (Riwayat al-Bukhari) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan tentang menggabungkan nama anak angkat dengan bapa angkat dalam sijil Pengangkutan dan Kad Pengenalan. Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkatnya Adapun persoalan puan, hadis berkaitan (tidak bau syurga) tidak merujuk kepada anak angkat (iaitu puan), tetapi larangan kepada bapa angkat atau sesiapa yang mendakwa seseorang itu anak kepada seseorang, sedangkan dia tahu adalah sebaliknya. Dan jika kebenaran telah diketahui adalah sebaiknya memperbetulkan keadaan semampunya bagi mengelakkan permasalahan lain berlarutan. Kesimpulannya, pertama perlu dipastikan pewarisan harta dari bapa angkat (anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka melainkan wasiat serta hibah), dan kedua adalah pewalian dalam urusan pernikahan, jika anak angkat adalah wanita, maka pernikahan tersebut mestilah mendapat kebenaran dari Mahkamah Syariah bagi urusan walinya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 142

message user image