Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum dan salam satu malaysia. saya remaja berumur 18 tahun. saya ada keinginan ingin berkahwin tetapi pasangan saya masih belum ingin berkahwin kerana ingin sambung belajar dan mencari duit. ibu bapa pula sudah tentu belum membenarkan saya berkahwin. saya menghadapi kesukaran kerana terkadang kemaluan saya memberontak (maaf jika kata saya kurang sopan). saya terbaca blog di google dan mendengar ceramah di youtube yang belum saya tahu siapa yang menyampaikan itu yang membenarkan onani jika terdesak. jika ingin bercakap langsung saya boleh membuat panggilan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, beronani adalah perbuatan maksiat dan dosa yang perlu ditinggalkan, pelakunya hendaklah bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan itu. Bagi pasangan yang belum berkemampuan untuk berkahwin, hendaklah menjaga kemaluannya daripada cenderung kepada syahwat. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda: يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء. Maksudnya : “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.