BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalammualaikum. Saya ingin mendapatkan penjelasan berikut : 1. Apakah hukum aurat antara perempuan Islam dan perempuan kafir? 2. Apakah hukum sekiranya perempuan Islam dan lelaki tidak kira agama bersentuhan dgn lapik tanpa nafsu? Contohnya: lelaki dan perempuan bersalaman dengan memakai sarung tangan atau lelaki dan perempuan berpelukan tanpa terkena kulit dan tanpa bernafsu. 3. Adakah dibolehkan menulis ayat zikir pada tangan contohnya Astaghfirullahaladzim dengan tujuan untuk selalu melihat zikir tersebut, dan secara automatik, membacanya di dalam hati memaksa diri untuk tujuan mendekatkan diri dengan Allah SWT. 4. Merujuk kepada soalan 3, apakah hukum solat dengan dakwat pen tersebut di lengan atau tapak tangan. Adakah perlu dibersihkan atau tidak. 5. Sekiranya perlu dibersihkan, bagaimana hukumnya sekiranya masih terdapat sisa dakwat tersebut di tangan ketika solat.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, 1. Batas aurat perempuan muslim dan perempuan kafir (yang tidak memusuhi muslim) adalah sama auratnya seperti sesama perempuan muslim. 2. Hukumnya berdosa, kerana pergaulan yang bebas. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya” (an-Nuur : 30 – 31) 3. Tidak. Tulislah di kertas dan seumpamanya. Kerana berdosa jika masuk ke tandas sedangkan di tangan tertulis kalimah Allah SWT. 4. Sebelum berwuduk dan solat, kena bersihkan dakwat tersebut. Jika dakwat menghalang air wuduk, maka tidak sah solatnya. 5. Bersihkan menggunakan sabun atau alat yang boleh menghilangkan dakwat. Jika setelah berusaha masih terdapat sisanya, sah solat tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 199

message user image