Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: saya bekerja sebagai cashier disebuah hypermaket, pelanggan ada membeli arak akan tetapi saya tidak scan mahupun sentuh arak tersebut akan tetapi saya terima duit oleh kerana penyelia saya kurang pengetahuan mengenai isu arak dan memaksa saya terima duit jualan tersebut. Adakah haram gaji saya bulan tersebut? dan bagaimana saya hendak membersihkan gaji saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, berkenaan isu yang melibatkan arak, Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maaidah : 90) Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA., bahawa Nabi SAW bersabda; لعن النبى ﷺ في الخمر عشرة: عاصرها ومعتصرها وشاربها وحاملها والمحمولة إليه وسافتها وبائعها وآكل ثمنها والمشتري لها والمشتراة Maksudnya : Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi) Berdasarkan kepada ayat al-Quran dan al-Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa sebarang urusan yang ada kaitannya dengan arak mestilah dijauhi. Berkenaan dengan gaji yang diterima ianya adalah percampuran antara rezeki yang halal dan syubhah. Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada al-Nu’man Ibnu Bashir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimanapun di antara keduanya terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah), yang mana ramai orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya”. (Riwayat al-Bukhari) Bagi membersihkannya, saudara hendaklah menyerahkan sebahagian gaji yang syubhah itu ke Baitulmal atau boleh diserahkan ke kaunter zakat yang berhampiran untuk diuruskan. Kebanyakan hypermarket telah menyediakan kaunter khusus untuk jual beli barangan yang tidak halal secara berasingan untuk bukan muslim. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.