Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai kafarah untuk nazar dan sumpah. Suami saya telah meninggal dunia namun arwah ada mempunyai nazar puasa yang belum ditunaikan. oleh itu , bagaimana cara pengiraan kafarah untuk nazar beliau? soalan kedua, suami saya juga pernah melanggar sumpah berkali kali. jadi bagaimana cara pengiraan membayar sumpah kafarah arwah yang dilanggar berkali-kali
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Jika arwah suami tidak sempat melaksanakan puasa nazarnya, maka warisnya bolehlah menggantikannya. Adapun jika waris juga tidak mampu untuk menggantikan puasa nazar tersebut, maka hendaklah dilaksanakan kaffarah nazar sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.” (al-Maidah : 89) 2. Kaffarah nazar sama seperti kaffarah sumpah, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ; لا نذر في معصية وكفارته كفارة يمين Maksudnya : : “Tiada nazar pada perkara maksiat dan kaffarah nazar sama seperti kaffarah sumpah” (Riwayat Abu Daud) Jika waris boleh mengenal pasti berapa kali sumpah yang dilanggar oleh arwah suami, maka pengiraannya adalah berdasarkan sumpah yang diketahuinya sahaja. Jika waris juga tidak dapat mengenalpasti, tidaklah menjadi kesalahan kepada waris. Berdoalah semoga arwah diampunkan dosanya dan bersedekahlah dengan diniatkan pahala sedekah itu untuk arwah suami. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.