Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: selepas income suami saya habis akibat loan yang banyak sekaligus suami tidak mampu untuk memberi nafkah bulanan pada saya lagi. Loan yang dilakukan bertujuan utk bisnes MLM,tapi gagal...Jadi sekarang saya tidak menerima nafkah bulanan lagi dri suami seperti dulu..Jadi saya ingin pencerahan apakah hukum dan patutkan sy menuntut dari suami sekarang..Sudah hampir 3 tahun dia tidak memberi nafkah bulanan..Dia hanya mampu membayar belanjaan rumah dan kereta setakat ini.Saya juga berkerjaya dan kami punyai 2 orang anak.Mohon jelaskan,apa yg harus saya lakukan.wslam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, dalam keadaan suami yang mempunyai banyak hutang, alhamdulillah suami puan masih mampu untuk membayar belanja rumah dan kereta. Itu juga merupakan pemberian nafkah dari suami iaitu menyediakan tempat tinggal sekeluarga. Perkahwinan itu adalah perkongsian hidup, justeru bantu-membantulah ketika pasangan ditimpa kesusahan, masalah, musibah, dan sebagainya. Tanggungjawab suami terlaksana dengan pemberian nafkah mengikut kemampuannya. Antara hutang dan nafkah, kedua-duanya wajib dilunaskan. Tetapi nafkah diberi mengikut kemampuan suami. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan”. (At-Talaaq : 7) Jika puan faham situasi dan kewangan yang dialami suami, adalah tidak wajar mendesak suami memenuhi tuntutan nafkah bulanan. Malah puan mendapat pahala sedekah kerana membantu menyediakan keperluan keluarga menggunakan gaji yang diperolehi, tambahan pula mendapat keizinan suami untuk keluar bekerja. Berdoalah semoga urusan kehidupan rumahtangga dipermudahkan dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Sentiasalah bersyukur walaupun diuji. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah : 286) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.