Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum w.b.t Saya ada soalan mengenai solat jumaat. Saya terlupa akan hari ini hari jumaat dan sangka kan hari khamis, jadi saya tidak pergi untuk solat di masjid. ini kali pertama saya tinggal solat jumaat dalam keadaan sedar. Selain dari solat zohor seperti biasa, apa yang saya perlu lakukan? kerana saya tahu tinggalkan solat jumaat dengan sengaja adalah satu dosa besar.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, Solat Jumaat adalah fadhu `ain dipertanggungjawabkan ke atas setiap orang Islam, lelaki, baligh, berakal, mukim (tidak bermusafir), sihat dan tiada keuzuran yang dibenarkan oleh syara’. Firman Allah SWT; يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)”. (al-Jumu’ah : 9) Adapun, terlupa adalah perbuatan yang bukan disengajakan. Ini disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِى الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ Maksudnya ; “Sesungguhnya Allah menghapuskan dari umatku dosa ketika mereka dalam keadaan keliru, lupa dan dipaksa.” (Riwayat Ibnu Majah) Selain tuan menggantikannya dengan solat Zuhur, tuan hendaklah mengambil perhatian apabila tiba hari Jumaat atau waktu Solat Jumaat agar tidak terlepas dan terlupa melaksanakannya. Seterusnya bertaubat dan menyesali perbuatan tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.