BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Saya mempunyai seorang kawan yang tidak solat. Saya telah mengajaknya solat secara baik, menghantar risalah mengenai solat, kebaikan menunaikan solat, dosa jika meninggalkan solat tetapi masih tidak dapat mengajaknya menunaikan solat. Apakah cara terbaik untuk mengajak seseorang menunaikan solat?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, puan telah menunaikan tanggungjawab puan. Teruskan dan jangan berputus asa, tetapi biarlah berhikmah. Tambah lagi usaha dengan berdoa dan mohon beliau diberi hidayah oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (al-Qasas : 56) Kita tidak mampu mengubah pendirian seseorang. Allah SWT juga tidak tanya kejayaan kita dalam merubah pendirian seseorang, tetapi yang akan ditanya adalah usaha kita. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya”. (Ar-Ra'd : 11) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 127

message user image