Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Seorang anak lelaki mempunyai :- 1- Seorang ibu yang telah kematian suami; 2- Seorang anak buah yang ayah nya telah meninggal iaitu abang kepada anak lelaki tersebut. Persoalannya disini siapakah yang perlu didahulukan oleh si anak lelaki dari segi tanggungjawabnya sama ada ibunya atau anak buahnya. Dan keluarga lelaki juga tidak mengambil apa2 duit atau harta dari anak yang meninggal diberikan sepenuhnya kepada isteri arwah dan anak buah tersebut menerima bantuan socso setiap bulan dalam anggaran rm800. Mohon penjelasan kerana kemampuan terhad.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara; 1. Kebertanggungjawaban seorang lelaki dalam pemberian nafkah perlu merujuk kepada susunan perwaliannya. Bagi seorang ibu yang telah kematian suami, tidak bekerja dan tidak mampu mengurus dirinya, jika mempunyai anak lelaki yang telah bekerja dan mampu memberi nafkah, maka keutamaan bagi anak lelaki tersebut adalah kepada ibunya. Tuntutan berbakti kepada seorang ibu itu lebih utama, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya; جاء رجل الى رسول الله ﷺ فقال : من أحق الناس بحسن صحابتي قال أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أبوك Maksudnya : “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, “Siapakah dari keluargaku yang paling berhak untuk berbakti?”. Jawab Rasulullah SAW, “Ibumu”. Pemuda itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?”. Baginda menjawab, “Ibumu”. Ditanya lagi, “Kemudian siapa?”. Jawabnya, “Ibumu”. Pemuda tersebut bertanya lagi, “Kemudian siapa”. Nabi SAW menjawab, “Kemudian bapamu”. (Riwayat Muslim) 2. Sebagai saudara lelaki seibu dan sebapa kepada arwah, tanggungjawab memberi nafkah kepada anak buah adalah selagi mana mereka belum dewasa/ bekerja, maka menjadi kewajipannya memberikan nafkah mengikut kadar kemampuannya. Firman Allah SWT: Maksudnya : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Talaq : 7) Berdasarkan kepada ayat di atas, saudara hendaklah memberi nafkah kepada anak buah tersebut (walaupun mereka mendapat bahagian pusaka, socso dan bantuan anak yatim lain) mengikut kadar kemampuan saudara walaupun sedikit, agar terlepas tanggungjawab saudara sebagai wali dalam pemberian nafkah, perkara ini juga hendaklah direkodkan agar tiada tuntutan lain yang berbangkit kelak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.