Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt, Saya akan bersanding tidak lama lagi. Dijadualkan untuk masa bersanding bermula 1pm. Setelah ditanya pihak perunding majlis,kebanyakan semua terutama pengantin akan qada' solat zuhur disebabkan faktor masa dan solekan. Masa bersanding memang tidak dapat di ubah kerana ini sudah termaktub dalam wedding planner. Jadi adakah kami (pengantin dan mereka yang berlibat di sebelah pengantin) boleh melakukan solat Jamak Takhir / cara penyelesaian masalah solat keadaan kami ini. Saya rasa ini berlaku juga dengan semua pengantin yang lain. Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, pengantin dan majlis perkahwinan bukanlah alasan untuk tidak menunaikan solat pada waktunya. Bahkan, sengaja meninggalkan solat adalah berdosa. Para pengantin tidak diharuskan untuk menjamakkan solatnya. Mereka hendaklah solat apabila masuk waktunya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya”. (an-Nisa’ : 103) Dahulukan urusan dengan Allah, bukannya manusia. Jadual solat tidak boleh diubah-ubah kerana itu adalah ketetapan dari Allah. Siap sedia ambil wuduk sebelum mengenakan solekan agar mudah menunaikan solat selepas azan. Tegaskan dengan perunding majlis agar anjakkan masa untuk solat zuhur terlebih dahulu. Sebagai orang yang beriman, taatlah kepada perintah Allah SWT, sebagaimana firmanNya yang bermaksud : “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan”. (An-Nuur : 52) Jangan contohi pengantin yang mengabaikan waktu solat ketika majlis perkahwinan mereka. Contohilah perkara yang baik demi menjaga syariat. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Siapa yang mengajak kepada sesuatu jalan kebenaran (kebaikan), dia mendapat pahala sebanyak pahala yang diperolehi orang-orang yang mengikutinya, tidak mengurangi sedikit pun pahala mereka. Siapa yang mengajak kepada jalan kesesatan (keburukan), dia mendapat dosa sebagaimana yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun dosa mereka.” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.