Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Pertanyaan saya. Apakah berdosa sekiranya saya seorang isteri yg bekerja tidak memasukkan nama suami sebagai salah seorang penama ke atas wang kwsp. Suami begitu marah dan terguris kerana menuduh saya tidak menghormati dia sebagai suami bila saya hanya memasukkan nama kelima-lima anak saya sahaja.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tindakan tidak memasukkan nama suami sebagai salah satu nama penama KWSP adalah tidak berdosa. Namun, jika tindakan tersebut menyebabkan suami terguris hati perlulah dielakkan. Ini kerana puan keluar bekerja sudah tentu dengan keizinan suami, justeru hormatilah suami. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (al-Baqarah : 228) Sehubungan itu, puan bolehlah merujuk ke laman web https://www.kwsp.gov.my/ms/member/nomination untuk panduan puan mengetahui kaedah memilih penama. Tujuan penama adalah sebagai pentadbir yang bertanggungjawab ke atas simpanan untuk diagihkan mengikut faraid apabila ahli meninggal dunia. Oleh itu, lantiklah penama yang layak untuk menguruskan tanggungjawab tersebut. Di samping itu, jika ditakdirkan puan meninggal dunia terlebih dahulu, suami tetap akan dapat bahagian faraidnya, kerana suami tidak terdinding untuk mendapat bahagian harta peninggalan isteri. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.