BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assamualaikum. Mohon penjelasan dan nasihat. Keluarga saya telah membela seorang anak angkat (perempuan) sejak beliau berusia 6 bulan lagi. Status beliau adalah anak tidak sah taraf. Ibu kandung beliau meninggalkan beliau untuk jagaan kami dan terus menghilangkan diri semenjak beliau berusia 2 tahun. Semasa beliau berusia 12 tahun, ibubapa saya telah mengambil beliau sebagai anak angkat secara rasmi/formal. Sekarang beliau berusia 22 tahun. Beliau telah dimaklumkan latar belakang beliau. Boleh saya tahu, apakah hak ibubapa saya terhadap beliau? Adakah dia wajib taat kepada orang tua saya? Adakah berdosa sekiranya beliau derkaha? Apakah doa-doa beliau sampai kepada orang tua saya? Bagaimana hendak menikahkan beliau kemudian hari? Perlukan nama beliau ditukar kepada binti Abdullah? Allahyarham bapa saya mendaftarkan nama beliau termasuk nama Allahyarham bapa saya semasa beliau berusia 12 tahun selepas mengambil beliau sebagai anak angkat yang sah tapi tanpa 'binti'. Mohon penjelasan dan tunjuk ajar. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, adalah menjadi kewajipan seorang anak untuk patuh dan taat kepada kedua ibu bapanya dalam perkara yang tidak menyalahi syarak. Begitu juga tanggungjawab seorang anak angkat yang telah dijaga dan diberi kasih-sayang oleh ibu bapa angkatnya selaku penjaganya yang sah. Hormatilah mereka yang telah memelihara dan memberi nafkah serta kasih-sayang kepada mereka sejak kecil. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (al-Israa' : 23-24) Oleh kerana beliau telah mencapai usia baligh, maka tanggungjawab memikul dosa dan pahala adalah tanggungjawab sendiri. Justeru, berdosa hukumnya jika beliau menderhaka kepada orang tuanya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)” (Al-An'aam : 164) Dari segi perwalian, pernikahannya kelak hendaklah menggunakan Wali Hakim disebabkan beliau adalah anak tidak sah taraf yang telah dijadikan anak angkat. Tidak perlu menukar namanya kepada binti Abdullah, kerana nama beliau telah pun didaftarkan tanpa menggunakan “binti”. Namun, oleh kerana anak ini tidak sah taraf, maka tidak boleh dibintikan kepada ayah biologinya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 65

message user image