Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada kemusykilan. Apakah hukum mentadabbur ayat alquran dengan orang yang tiada ilmu yang bertauliah dalam bidang Alquran atau bahasa arab? Adakah kita dibenarkan mentadabbur ayat-ayat yang jelas maksudnya..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, dalam hal menuntut ilmu atau mempelajari ilmu perlulah mencari orang yang mempunyai ilmu dalam bidang yang diajarkan, sebagaimana firman Allah SWT وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۖ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ Maksudnya : “Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri jika kamu tidak mengetahui”. (al-Anbiyaa’ : 7) Berdasarkan ayat ini, wajib mencari ilmu dengan orang yang mahir dan tahu tentang ilmu tersebut. Harus hukumnya mentadabbur ayat-ayat al-Quran sama ada jelas mahupun tidak jelas maksudnya dengan syarat perlu berguru dengan mereka yang mempunyai tauliah untuk mengajar. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.