Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya nak bertanya, adakah ia dikira tipu sunat sekiranya seseorang itu terpaksa berbohong atas perkara yang mengaibkan? Apa hukum nya dari segi islam?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, perbuatan menipu adalah berdosa. Adapun, beberapa situasi sahaja yang dibolehkan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Kalthum binti ‘Uqbah bin Abi Mu’aith (dia temasuk muhajirat yang pertama berbaiah dengan Nabi SAW) beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : ليس الكذاب الذى يصلح بين الناس ويقول خيرا ويمنى خيرا قال ابن شهاب ولم اسمع يرخص فى شئ مما يقول الناس كذب الا فى ثلاث : الحرب والاصلاح بين الناس وحديث الرجل امرأته وحديث المرأة زرجها Maksudnya : “Tidak termasuk pendusta orang yang mendamaikan dua orang yang berselisih, dia mengatakan yang baik lalu berhasil dengan baik”. Kata Ibnu Syihab, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membolehkan orang berdusta melainkan dalam 3 keadaan: Ketika dalam peperangan, Dalam mendamaikan dua orang yang berselisih dan percakapan suami kepada isterinya dan percakapan isteri kepada suaminya”. (Riwayat Muslim) Tiada perkara yang dibolehkan untuk berbohong, melainkan yang disebutkan dalam hadis di atas sahaja. Imam Nawawi mengulas hadis ini dengan menyatakan dibolehkan berbohong sebagaimana maksud hadis di atas jika terdapat maslahah/ kepentingan. Adapun perkara yang berkaitan dengan aib, sebagai seorang muslim sebaiknya perkara ini hendaklah dielakkan dan tidak didedahkan kepada orang ramai. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujuraat : 12) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.