Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz. Sebelum bertanya izinkan saya menceritakan sedikit tentang kekeliruan saya. Ibu saya ketika ini dalam tempoh iddah setelah kematian ayah saya 2 bulan lepas. Ibu menjaga bayi saya sejak saya dari saya dalam pantang di rumah saya di Shah Alam. Rumah ibu dan bapa saya di Pahang. Soalnya,ibu sekarang di pahang ditemani abang sulung saya yang sudah berkeluarga. Masalahnya,ibu saya menghadapi tekanan emosi akibat perangai ketiga-tiga anak abang saya yang agak hyper dan tidak boleh dikawal .Beliau merasa sangat tertekan kerana tidak dapat menumpukan perhatian untuk beribadah dan dalam masa yang sama masih lagi kesedihan.Beliau membuat keputusan untuk mengikuti saya ke shah alam bersama bayi saya yang mungkin secara on-off .mungkin 2 minggu di rumah saya (anak perempuan) dan kemudia dirumah sendirinya di Pahang .Untuk pengetahuan ustza,beliau tidak mampu hidup berseorangan di rumahnya kerana risiko keselamatan dan untuk elak tekanan emosi akibat kesedihan melampau.Soalnya,kerana ingin ibu menumpukan amal ibadah disamping merehatkan fikiran nya akibat kekusutan oleh kenakalan cucu-cucu yang super hyper,bolehkah saya membawa ibu dan bayi saya yang dijaganya tingal bersama saya secara on off tanpa keluar kemana-mana. sekadar untuk beliau tinggal, menjaga bayi dan mengaji dengan tenang sebagaimana permintaannya? Mohon penjelasan ya ustaz.Terima kasih dan Assalamualaikum .
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, oleh kerana ibu masih lagi berada dalam tempoh iddah, adalah menjadi kewajipan baginya untuk berihdad (tidak berhias), termasuklah menetap dan tinggal bermalam di rumah peninggalan al-mahrum suaminya. Iddah bagi wanita yang kematian suaminya adalah empat bulan sepuluh hari, sebagaimana firman Allah SWT: وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ Maksudnya : Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari. (al-Baqarah : 234) Wanita yang sedang beriddah juga tidak dibenarkan keluar bermalam di rumah lain. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Mujahid bahawa ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Baginda SAW pun bersabda: تحدثن عند إحداكن ما بدا لكن فإذا أردتن النوم فلتؤب كل امرأة منكن إلى بيتها Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing. (Riwayat al-Baihaqi) Oleh kerana keadaan ibu sedemikian, namun dibenarkan berpindah ke tempat penginapan yang baharu. Pergi pada waktu siang ditemani dengan mahram. Kemudian terus tinggal ditempat baharu hingga habis iddah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.