BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya agak was-was hal berkenaan najis, jadi ingin bertanya soalan berkaitan perkara tersebut. 1. Ketika membuang air kecil, saya mendapati terdapat banyak air yang terpercik di kawasan kemaluan dan kadangkala mangkuk tandas(tandas duduk). Adakah air terserbut dikira najis? 2. Merujuk kepada soalan 1, jika tidak pasti percikan air itu adalah percikan air yang mengandungi najis(air basuhan pertama) atau tidak(air basuhan yang najis sudah hilang), jika saya menyentuhnya adakah dikira najis? Jika saya membasuh kawasan tersebut adakah air yang mengalir dari kawasan tersebut dikira najis jika terpercik ke pakaian atau badan? 3. Ketika saya membasuh lantai tandas atau tangan yang terkena air basuhan najis, kadangkala air tersebut terpercik kepada saya, adakah air itu najis? 4. Jika saya mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis tanpa berhenti(tidak memadamkan pili air), dan air itu terpercik kepada saya, adakah ia najis? 5. Ketika membasuh pakaian yang terkena najis, sudah pasti akan ada air yang terpercik ( air yang mengalir dari baju itu sebelum atau selepas diperah) ke arah saya, adakah air itu najis? Perlukah saya membasuh bahagian badan atau baju saya? 6. Ketika membasuh selipar yang terkena najis, air basuhan itu terkena kasut atau selipar lain, perlukah kasut dan selipar lain itu dibasuh? Saya mempunyai soalan yang berkaitan solat. 7. Saya cuba melawan sifat was-was ketika solat seperti membaca al-fatihah atau tahiyat(bacaan wajib) berulang kali. Saya membaca berulang kali kerana khuatir salah sebutan yang menukar maksud bacaan atau saya takut tidak membaca ayat tersebut. Contoh : saya membaca ayat 5 surah alfatihah dan terlintas sama ada saya sudah baca ayat 2 atau belum. Maka, saya akan menulang surah alfatihah dari awal. Perkara tersebut juga terjadi ketika tahiyat. Saya tidak rasa ini adalah penyakit lupa kerana ketika saya melakukan solat sunat saya tidak mengulang ayat-ayat tersebut. Perkara ini terjadi setiap kali solat wajib atau melakukan perkara yang wajib sahaja. Kadangkala saya mengulangi perbuatan solat saya berulang kali seperti sujud berulang kali kerana khuatir dahi tidak mencecah lantai. atau saya sudah sujud atau belum. Selain itu, ketika saya mandi wajib, saya mengulang niat beberapa kali dan membasuh badan berulang kali kerana lupa dan risau saya tidak membasuhnya lagi


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, 1. Perlu dipastikan percikan air tersebut adakah air kencing atau air semasa membasuh kemaluan. Jika ia adalah air kencing, maka najis. Jika ia adalah air yang digunakan untuk membersihkan kemaluan, maka ia bukan najis. 2. Tidak dikira najis jika najisnya telah hilang. Jika najisnya telah tiada, maka air basuhan yang terpercik ketika membasuh kawasan tersebut bukanlah najis. 3. Air tersebut bukan najis. 4. Perlu yakinkan air yang terpercik itu air apa. Kalau air basuhan yang terpercik, maka bukanlah najis. 5. Air basuhan tersebut adalah air mutlak. Justeru ia telah menyucikan pakaian yang terkena najis. Jadinya, air yang terpercik ketika membasuh dan memerah baju bukanlah najis. 6. Tidak perlu. 7. Penyakit was-was ini adalah gangguan syaitan. Justeru lawanlah dengan keyakinan dalam hati dan sentiasa minta perlindungan dari Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Fussilat : 36) Oleh itu, jika puan yakin telah membaca surah al-Fatihah dari ayat 1 sehingga ayat 5, maka teruskan bacaan sehingga ayat akhir. Tidak perlu melayan lintasan yang mengganggu bacaan tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 3459

message user image