Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ibu saya lewat 60-an, kematian suami, takut tinggal sendirian dirumah, anak-anak bekerja & tinggal berasingan. Bolehkah ibu ikut & tinggal dirumah anak-anak dalam tempoh iddahnya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bagi seorang wanita yang kematian suami, mereka wajib ihdad (tidak berhias) dalam tempoh iddahnya iaitu empat bulan sepuluh hari, sebagaimana firman Allah SWT: وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ Maksudnya : Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari. (al-Baqarah : 234) Wanita yang sedang ber’iddah kematian suami juga diwajibkan untuk tinggal dan duduk di rumahnya (al-mahrum suami) sehingga tamat ‘iddah, selagi mana tidak takut serta bimbang akan diri, agama dan maruahnya. Namun demikian jika wujud kebimbangan, maka diharuskan untuk pergi dan tinggal di rumah lain yang lebih selamat seperti rumah anaknya. Hal ini disebut oleh Ibn Hajar al-Haitami (meninggal 973H) dalam karyanya Tuhfatu al-Manhaj: وتنقتل جوازا من المسكن لخوف على نفسها أو نحوا ولدها أو مال ولو لغيرها كوديعة وإن قل أو اختصاص كذلك فيما يظهر من نحو هدم أو غرق أو سارق أو لخوف على نفسها ما دامت فيه من ريبة للضرورة وظاهر أنه يجب الانتقال حيث ظنت فتنة Maksudnya : Dan seorang wanita yang ber’iddah harus berpindah daripada rumah kediamannya kerana takut akan dirinya, atau anaknya, atau harta kepunyaan orang lain yang dalam jagaannya meskipun sedikit, atau sebab-sebab yang khusus juga secara zahir seperti roboh, tenggelam, pencuri atau bimbang akan dirinya, selagi mana wujud keraguan kerana sesuatu dhahurah. Dan jelas bahawa wajib berpindah apabila wanita tersebut meyakini adanya fitnah. Justeru, harus terus tinggal di suatu tempat sehingga tamat iddah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.