BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Seorang rakan saya sudah bercerai dengan suami pertama dengan talak 3 ketika sedang hamil. Selepas habis iddah dia berkahwin semula dengan suami ke 2. sebelum sempat dia bersetubuh dengan suami ke 2 nya, suaminya itu meninggal. soalan saya bolehkah teman saya kembali semula pada suami pertamanya selepas habis iddah?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tersebut, teman puan tetap tidak boleh berkahwin semula dengan suami pertamanya kerana belum cukup syarat disetubuhi oleh suami keduanya. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya”. (al-Baqarah : 230) Daripada ayat di atas perlu difahami sekali dengan hadith yang diriwayatkan daripada 'Aisyah RA., katanya yang bermaksud: "Rasulullah SAW pernah ditanya orang tentang seorang perempuan yang telah kahwin, lalu ditalak oleh suaminya, kemudian dia kahwin dengan lelaki lain, lalu ditalak pula oleh suaminya yang kedua ini sebelum mereka melakukan senggama. Ditanyakan, "Apakah boleh wanita itu kahwin kembali dengan suaminya yang pertama?" Sabda Rasulullah SAW., "Tidak boleh, sebelum suaminya yang kedua itu merasakan madunya masing-masing (keduanya bersenggama)." (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 143

message user image