Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalammualaikum saya ingin bertanya soalan. Saya seorang anak. ibu bapa saya memarahi saya disebabkan perkara yang kecil . Ibu bapa saya bermusuh dengan makcik saya sedangkan pada masa kecil ibu bapa saya tidak menjaga saya dan abaikan saya serta saya diserahkan kepada nenek dan macik saya untuk jaga saya dan saya tidak dapat kasih sayang seorang ibu dan bapa . Ibu bercerai sejak saya masih kecil dan kahwin dengan orang warga asing. Bapa saya tidak suka dengan makcik dan dianggap musuh begitu juga dengan ibu saya . Saya dilarang oleh mereka untuk berjumpa makcik saya yang banyak berjasa kepada saya . Sejak dia tahu saya berjumpa makcik saya dan selepas itu saya diugut " kalau jumpa mama lagi anggap la mak sudah tiada" Daripada itu saya berasa kecil hati dan sedih . Niat saya ingin balas jasa makcik saya yang membesarkan saya dan untuk mengeratkan semula hubungan keluarga kami yang lama terputus . Oleh itu berikan sedikit pendapat dan adakah saya merupakan anak derhaka serta adakah perbuatan saya ini berdosa ? Saya mohon sedikit penjelasan terima kasih assalammualaikum.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, dalam isu ini saudara perlu lihat dari sudut agama. Soal ibu dan bapa yang tidak “mesra” dengan makcik, kita doakan agar semakin baik. Namun, tanggungjawab dan keutamaan untuk berbakti bagi seorang anak, adalah kepada ibu bapa kandungnya. Ini jelas sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya; جاء رجل الى رسول الله ﷺ فقال : من أحق الناس بحسن صحابتي قال أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أبوك Maksudnya : “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, “Siapakah dari keluargaku yang paling berhak untuk berbakti?”. Jawab Rasulullah SAW, “Ibumu”. Pemuda itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?”. Baginda menjawab, “Ibumu”. Ditanya lagi, “Kemudian siapa?”. Jawabnya, “Ibumu”. Pemuda tersebut bertanya lagi, “Kemudian siapa”. Nabi SAW menjawab, “Kemudian bapamu”. (Riwayat Muslim) Namun, makcik juga mendapat pahala yang akan dibalas oleh Allah SWT di atas jasanya menjaga saudara sejak kecil. Pengabaian tanggungjawab dan kasih sayang ibu dan bapa terhadap saudara, perkara itu akan dinilai sendiri oleh Allah SWT dan mereka juga akan dipertanggungjawabkan tentangnya. Usaha saudara untuk mengeratkan hubungan kekeluarga adalah sangat mulia. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (An-Nisaa' : 1) Seorang anak wajib taat kepada suruhan ibu bapanya. Adapun jika suruhan itu termasuk dalam perkara yang menyalahi syarak, maka tidak wajib taat. Justeru tidaklah dianggap sebagai derhaka. Sebaiknya, tegurlah perbuatan ibu itu dengan cara yang baik dan berhikmah. Jika tindakan saudara berjumpa makcik, menyakiti hati ibu, adalah wajar dielakkan. Gunakan cara lain untuk berhubung dan membalas jasa makcik. Disamping itu sentiasalah berdoa memohon pertolongan dari Allah SWT di atas ujian yang saudara lalui. Mudah-mudahan beroleh kejayaan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.