Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum Ustaz/ustazah, Pertanyaan saya ada lah bagi pihak Ibu saya. Ibu saya baru kematian suami sebulan yang lalu. Pada hari ini beliau mendapat panggilan telefon dari adik beliau mengatakan bonda beliau yang berapa di kampung ( Pekan Pahang) sedang sakit tenat. Pertanyaan saya ustaz, bolehkah Ibu saya meziarah bonda beliau? Saya sangat-sangat berharap agar ustaz dapat membantu saya dalam hal ini
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, wanita yang sedang ber’iddah kematian suami juga diwajibkan untuk tinggal dan duduk di rumahnya (al-mahrum suami) sehingga tamat ‘iddah, selagi mana tidak takut serta bimbang akan diri, agama dan maruahnya. Namun demikian jika wujud kebimbangan, maka diharuskan untuk pergi dan tinggal di rumah lain yang lebih selamat seperti rumah ibunya. Hal ini disebut oleh Ibn Hajar al-Haitami (meninggal 973H) dalam karyanya Tuhfatu al-Manhaj: وتنقتل جوازا من المسكن لخوف على نفسها أو نحوا ولدها أو مال ولو لغيرها كوديعة وإن قل أو اختصاص كذلك فيما يظهر من نحو هدم أو غرق أو سارق أو لخوف على نفسها ما دامت فيه من ريبة للضرورة وظاهر أنه يجب الانتقال حيث ظنت فتنة Maksudnya : Dan seorang wanita yang ber’iddah harus berpindah daripada rumah kediamannya kerana takut akan dirinya, atau anaknya, atau harta kepunyaan orang lain yang dalam jagaannya meskipun sedikit, atau sebab-sebab yang khusus juga secara zahir seperti roboh, tenggelam, pencuri atau bimbang akan dirinya, selagi mana wujud keraguan kerana sesuatu dhahurah. Dan jelas bahawa wajib berpindah apabila wanita tersebut meyakini adanya fitnah. Maka hajat dan dharurah membenarkan wanita yang sedang ihdad untuk keluar daripada rumahnya. Namun keharusan ini hanya pada waktu siang sahaja dan tanpa bermalam di rumah lain. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Mujahid bahawa ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Baginda SAW pun bersabda: تحدثن عند إحداكن ما بدا لكن فإذا أردتن النوم فلتؤب كل امرأة منكن إلى بيتها Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing. (Riwayat al-Baihaqi) Berdasarkan hadith ini, wanita yang dalam ihdad dan ‘iddah tidak boleh bermalam di rumah orang lain dan tidak boleh keluar rumah pada waktu malam kecuali jika dharurat (terpaksa). Ini kerana keadaan waktu malam yang tidak selamat berbanding waktu siang. Bahkan waktu siang adalah waktu bekerja, mencari nafkah dan sebarang urusan berkaitan hajat manusia. Mereka juga boleh berbicara dengan ahli keluarganya, menguruskan hal ehwal anak-anak dan rumahnya, serta mendapatkan keperluan asas hidupnya. Justeru, berdasarkan kepada dalil tersebut, ibu puan boleh menziarahi bondanya di Pahang, sepanjang siang hari. Apabila tiba waktu malam, hendaklah pulang ke rumahnya dan tidak bermalam di sana serta mesti ditemani mahram. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.