BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya, berdosakah seorang ibu menghalang anak lelakinya pulang kepada anak dan isterinya? Ceritanya, anak lelaki tersebut telah masuk penjara disebabkan bapa mertua (ayah menantu perempuan) membuat laporan katanya si menantu lelaki memeras ugut beliau, sepanjang di penjara hanya ibu bapa dan keluarga lelaki ni sahaja yang melawat, si isteri tidak pernah melawat. tapi bila sudah keluar penjara, lelaki ini ada berhubung dengan isterinya semasa tempoh parol. Setelah bebas sepenuhnya, si ibu menyuruh anak lelakinya pulang ke rumah dia dan tidak pulang kepada anak isterinya. Si ibu menyuruh anaknya memilih dia ataupun isteri. Setakat ni dia berada di rumah ibu dia tetapi kerap meluah kata rindu pada anak isteri dia melalui whatsapp status. Jadi saya ingin tahu, berdosa kah ibu suruh anak lelaki dia memilih dia dan pisahkan dengan si isteri tadi?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, memutuskan hubungan silaturrahim sesama Islam pun sudah merupakan satu kesalahan, apatah lagi melarang suami menjalankan kewajipan terhadap tanggungannya dan memutuskan hubungan suami isteri serta anak-anaknya. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Muhammad Jubair bin Muth’im RA, bahawa Nabi SAW bersabda: لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ Maksudnya : “Tidak akan masuk surga orang yang memutuskan (silaturahim)” (Riwayat al-Bukhari) Walau apapun alasan ibu bapa tersebut, tetapi memaafkan dan mendoakan kehidupan rumah tangga anak-anaknya lebih utama. Lebih-lebih lagi kerana mereka masih suami isteri yang mempunyai perasaan kasih sayang. Tidak ada manusia yang tidak membuat kesilapan. Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda: كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat” (Riwayat Ibnu Majah) Beri ilmu dan bimbing anak lelakinya, jadikan lebih bertaqwa dan bertanggungjawab terutamanya dengan mertua. Semoga pengalaman yang dilalui menjadi pengajaran untuk kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 143

message user image