Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt ustaz. Pertanyaan saya, saya sudah beberapa kali memohon cerai daripada suami saya , tetapi suami saya tidak mahu lafazkan talak. Masalah dalam rumahtangga adalah bukan berpunca daripada suami, tetapi dari saya sendiri. suami saya seorang yang sangat baik. Baik dengan saya dan juga keluarga saya. Selama ini saya banyak mendera perasaan dan emosi suami dengan tidak menunjukkan rasa hormat terhadap seorang suami, selalu meminta suami mmbantu saya dalam urus rumahtangga tanpa mengira dia penat atau tidak. Suami saya banyak membantu saya mengurus hal anak-anak tetapi selalu sahaja menjadi mangsa lepas geram dan kemarahan saya. Setiap kali bergaduh saya yang selalu memulakan dan saya selalu berfikiran negatif terhadap suami saya. Saya hanya mau suami menurut kata saya tetapi bila ada masalah saya tidak boleh dinasihati dan selalu ingin menang dalam pergaduhan. Sedangkan suami saya sudah buat terbaik untuk penuhi keperluan keluarga. Pendek kata, saya jenis isteri yang tidak tahu bersyukur. Apa suami saya buat semua salah di mata saya. Dia buat baik salah, dia buat jahat lagilah saya naik marah. Suami saya pun saya lihat cukup bersabar dengan saya smpai satu tahap bila kami bergaduh saya lihat dia menangis. Saya tidak mahu lagi dia menderita atas sikap saya dan saya minta dia ceraikan saya tetapi dia tidak mahu. Apa patut saya buat ustaz?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, puan sewajarnya bersyukur apabila dikurniakan seorang suami yang baik dan bertanggungjawab dalam segala urusan rumahtangga. Tindakan dan layanan puan terhadap suami adalah suatu perkara yang sangat tidak wajar dan tidak patut berlaku dalam hubungan suami isteri. Menerusi apa yang puan jelaskan, tiada satu pun alasan munasabah untuk puan membuat permohonan perceraian daripada suami. Puan wajib menghormati dan menghargai suami dengan memberikan perhatian dan layanan yang baik kepada suami. Hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Neraka diperlihatkan kepadaku, ternyata kebanyakan penghuninya adalah para wanita yang kufur. Lalu Baginda ditanya, Apakah mereka kufur kepada Allah? Baginda menjawab. “Mereka menolak suami dan kebaikannya. Jika kamu berbuat baik kepada salah seorang daripada mereka selama setahun, kemudian dia melihat sesuatu (perbuatan buruk) darimu, maka dia berkata, Aku tidak pernah melihat sedikit pun kebaikan darimu.” (Riwayat al-Bukhari) Tanggungjawab seorang isteri adalah patuh dan taat kepada suami selama mana tiada arahan atau apa-apa yang bercanggah dengan syarak. Sentiasalah berusaha untuk menjadi isteri yang baik dan mentaatinya sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Namun, jika bimbang kufur, isteri boleh mohon khulu’. Ini berdasarkan kisah isteri Thabit bin Qais, dalil yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah bersabda: أن امرأة ثابت بن قيس أتت النبي صلى الله عليه وسلم فقالت يا رسول الله ثابت بن قيس ما أعتب عليه في خلق ولا دين ولكنى أكره الكفر في الإسلام. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أتردين عليه حديقته. فقالت : نعم. قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : اقبل الحديقة وطلقها تطليقة Maksudnya : “Isteri Thabit bin Qais menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah mencela Thabit bin Qais dari segi akhlak dan agamanya, tetapi sebagai seorang Islam, aku tidak suka mengingkari hak-hak suami”. Nabi SAW pun bersabda: “Bolehkah engkau memulangkan kebunnya?”. Dia menjawab: “Ya”. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada Thabit bin Qais: “Engkau terimalah kebun ini dan ceraikanlah dia talaq satu”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.