BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Saya ingin bertanya, adakah salah sekiranya menegur seseorang itu melalui whatsapp, ada yang beranggapan mereka kata ada yang menghasut / porak perandakan hubungan keluarga, apabila berdepan dengan mereka akan ada pertelingkahan sesama sendiri. Cara menegur adalah untuk menyedarkan mereka untuk pulang ke kampung untuk melawat ibu keseorangan di kampung. Adakah cara menegur itu salah? Adakah betul sekiranya seorang sahaja yg bertanggungjawab pada ibu dan yang lain hanya kirim duit dan telefon malah jarang sekali untuk pulang ke kampung, sedangkan ada ramai adik beradik. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, membuat teguran atau nasihat adalah suatu tindakan yang baik kerana agama itu adalah nasihat menasihati. Bagaimanapun ia perlu menggunakan kaedah yang sesuai. Menegur menggunakan aplikasi Whatsapp lebih-lebih lagi dalam kumpulan (group) adalah kurang sesuai kerana ia boleh mendedahkan keaiban kepada pihak yang tiada kaitan, hingga boleh menimbulkan fitnah. Oleh itu, sebaik-baiknya hendaklah nasihat itu dilakukan secara bersemuka, dengan sopan dan berhikmah lebih-lebih lagi daripada pihak yang lebih muda kepada yang lebih tua. Berhubung dengan berbuat baik kepada ibu bapa, lebih-lebih lagi ibu, ia adalah kewajipan bagi setiap anak-anaknya. Firman Allah SWT ; Maksudnya : “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat” (an-Nisa’ : 36) Tanggung jawab anak kepada ibu bapa bukan sekadar penjagaan, makan minum dan nafkah yang bersifat kebendaan. Tetapi yang lebih penting ialah yang bersifat spiritual seperti emosinya. Ibu bapa bukan hendakkan duit kita, tetapi diri kita, perasaan rindunya, kasih sayangnya yang tidak pernah berubah sejak mula lahir lagi. Perasaan yang tidak boleh “diwakilkan dengan kiriman duit” sahaja. Amat malang, kerana biasa kedengaran ungkapan berbunyai : “Seorang ibu boleh menjaga 10 orang anaknya, tetapi 10 orang anak belum tentu dapat menjaga ibunya yang seorang”. Apabila ibu bapa sakit perlukan penjagaan, anak-anak akan merasakan adik-beradik lainlah yang lebih utama menjaganya, tetapi apabila meninggal dunia sahaja, setiap anak akan merasakan, dialah yang lebih utama untuk mempusakai hartanya. Islam itu indah, Islam meletakkan tanggung jawab menjaga ibu bapa mempunyai kesesuaian (kolerasi) dengan hak mendapatkan harta pusaka. Ambillah peluang berbuat baik kepada ibu bapa dan menjaganya sementara masih ada. Ingatlah ibu bapa tiada penggantinya di dunia ini, jangan sampai kita menyesal dikemudian hari yang tidak ada penyelesaiannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 168

message user image