Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalam ustaz/ustazah, Saya ada 1 masalah merangkumi rumahtangga dan keluarga. Saya telah berkahwin dengan pasangan saya 13 tahun yang lalu ketika saya berusia 32 tahun. Kami berkahwin di thailand kerana pada masa itu suami mempunyai isteri tetapi sudah lama bermasalah dan bertahun-tahun hidup berasingan. mereka bercerai setelah 4 tahun kami berkahwin. Ibu saya tidak merestui perkahwinan saya namun saya tekad teruskan kerana saya ingin tamatkan hidup bujang dari membuat dosa. memang saya akui hidup kami banyak kesusahan dan kesempitan namun kami harungi dengan tabah. saya tidak pernah mengabaikan ibu saya. saya sentiasa berulang alik menjaga kebajikan dan keperluannya sehingga lebih dari 2 tahun lepas, kesihatan ibu saya semakin teruk dan tidak menentu memaksa saya untuk terus tinggal dengan ibu. saya anak bongsu dari 4 orang adik beradik 2 lelaki dan 2 perempuan tetapi semua berkeluarga dan bekerjaya sedangkan saya tiada anak dan tidak bekerja. sekarang ibu saya berkerusi roda sepenuhnya tetapi masih boleh ke tandas sendiri menapak setapak dua. suami saya pula kurang sihat kerana masalah jantung. saya terpaksa memilih. ibu saya sudah tua dan tidak boleh berdikari jadi saya katakan pada suami, kalau dia tidak redha, saya hidup dalam dosa dan kalau itu berlaku, dia harus lepaskan saya walaupun kami tiada masalah dan masih sayang. alhamdulillah, suami saya sabar dan redha dan kadang kala datang ke rumah ibu dan bawa saya keluar makan. Ibu saya sehingga sekarang tidak sukakan suami saya. Yang menjadi masalahnya, saya tidak diberi peluang langsung untuk balik ke rumah suami. setakat balik 3-4 jam seminggu sekali atau dua sahaja pada waktu siang. Ibu saya tidak mahu tinggal di rumah anak-anak yang lain dan mereka pun tiada inisiatif sendiri untuk datang bergilir walau sehari seminggu di rumah ibu. kalau saya betul-betul ada urusan sebelah suami, saya terpaksa seakan merayu dengan adik beradik yang lain untuk datang menjaga ibu. ibu saya ini pada pandangan saya, dia boleh ditinggalkan seorang malam hari kalau betul dia memikirkan rumahtangga saya tetapi dia seakan pentingkan diri sendiri. Kalau tahu saya hendak pulang, mula lah dia demam dan sakit-sakit. kadang-kadang lebih sebulan saya langsung tidak balik bersama suami. saya rasa hidup saya sangat tidak sempurna. Walaupun suami tidak merungut namun bila ada urusan keluarganya yang memerlukan saya turut serta, ibu seakan tidak sihat dan mengadu sakit sana sini, suami frust juga. semua orang memuji saya kerana saya menjaga ibu saya tetapi dalam hati saya hanya Allah sahaja yang tahu. saya takut saya sekarang bukan dalam pahala tetapi lebih berdosa sebab membiarkan suami yang sepatutnya saya utamakan. berdosakah saya kalau saya berkeras untuk balik ke rumah suami dan buat ibu saya bersedih? harap ustaz/ustazah dapat beri pendapat pada saya apa yang harus saya lakukan. wassalam..terima kasih...
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, dalam isu ini sebenarnya hendaklah dilihat dari sudut tanggungjawab seorang anak dalam Islam. Bagi anak perempuan yang mempunyai suami, keutamaan ketaatan dan tanggungjawab adalah kepada suaminya berbanding ibunya. Hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW bersabda: لَوْ أَمَرْتُ أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، وَلَوْ أَنَّ رَجُلاً أَمَرَ امْرَأَتَهُ أَنْ تَنْقُلَ مِنْ جَبَلٍ أَحْمَرَ إِلَى جَبَلٍ أَسْوَدَ، وَمِنْ جَبَلٍ أَسْوَدَ إِلَى جَبَلٍ أَحْمَرَ لَكاَنَ لَهَا أَنْ تَفْعَلَ Maksudnya : “Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada seorang yang lain nescaya aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya”. (Riwayat Ibnu Majah) Oleh kerana puan mempunyai adik-beradik lelaki, adalah menjadi keutamaan bagi mereka untuk menjaga keperluan dan kebajikan ibu. Disamping anak perempuan juga turut sama-sama membantu, tetapi dengan izin suami masing-masing. Menjaga dan berbakti kepada ibu bapa adalah tanggungjawab semua anak. Kasihilah ibu yang telah mengandung, melahirkan dan membesarkan anak-anak, kerana pengorbanan ibu sangat tinggi. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Luqman : 14) Sebaiknya, puan berbincanglah sesama adik-beradik secara hikmah. Namun, jika semuanya lepas tangan, puan mintalah izin suami untuk membawa dan menjaga ibu di rumah puan. Mudah-mudahan hati ibu terbuka dan dapat menerima suami puan di atas kebaikan dan kesudiaannya menjaga ibu. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.