BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: saya ingin bertanya soalan berkaitan dengan tajuk iddah iaitu: 1) apakah hukum seseorang wanita yang berada dalam iddah kematian suami (4 bulan 10 hari) perlu keluar untuk memenuhi kewajipan menghadiri conference yang mewajibkan dia (si isteri) memakai pakaian yang cantik sedangkan wanita yang berada dalam iddah kematian suami tidak boleh memakai pakaian yang cantik? 2) apakah hukum seseorang wanita yang berada dalam iddah kematian suami perlu keluar untuk memenuhi kewajipan menghadiri kuliah/lecture jika dia (si isteri) masih seorang pelajar kerana tempoh 4 bulan 10 hari adalah satu tempoh yang lama untuk tidak menghadiri kuliah/lecture?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari; 1. Seorang wanita yang kematian suami wajib ihdad (tidak berhias) sepanjang tempoh ‘iddahnya. Ini berdasarkan kepada hadith nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah Binti Abu Sufiyan RA bahawa baginda SAW bersabda: لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اﻟْﺂخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثِ لَيَالٍ إلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا Maksudnya : Tidak Halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk ihdad (tidak berhias) melebihi tiga hari kecuali kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari. (Riwayat al-Bukhari) Justeru, haram hukumnya jika bercantik-cantik ketika menghadiri conference tersebut. Cukup dengan memakai pakaian yang menutup aurat dan kemas. Termasuklah seperti; i. Tidak memakai pakaian yang cantik dan menarik. ii. Tidak memakai sebarang bentuk perhiasan pada anggota badannya seperti emas, perak dan sebagainya sama ada gelang tangan, rantai leher dan lain-lain. iii. Tidak mengenakan sebarang wangi-wangian sama ada daripada minyak atau asap, melainkan ketika bersuci daripada haidh maka dibenarkan menggunakan wangian hanya ditempat yang mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan sahaja. iv. Tidak bersolek pada wajah dan matanya dengan sebarang solekan termasuk bercelak. Dibenarkan untuk keluar pada waktu siang sahaja ditemani mahramnya. 2. Adalah harus bagi wanita yang beriddah kematian suami untuk keluar (ditemani mahram) bekerja mencari nafkah, seperti mengajar dan sebarang urusan berkaitan hajat manusia. Mereka juga boleh berbicara dengan ahli keluarganya, menguruskan hal ehwal anak-anak dan rumahnya, serta mendapatkan keperluan asas hidupnya. Namun, urusan tersebut hendaklah dilakukan pada siang hari sahaja dan perlu kembali ke rumahnya pada malam hari. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 372

message user image