Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam, Saya mempunyai seorang anak bersama bekas suami dan sekarang saya telah berkahwin lain. Adakah nafkah dan tanggungjawab anak saya terletak pada suami baru? Atau sepenuhnya terletak pada bekas suami iaitu bapa kandung anak saya? Saya faham nafkah anak sepatutnya diberi oleh bekas suami tetapi adakah wajar atau tidak saya meminta suami baru untuk membantu dari segi nafkah pada anak tirinya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, kewajipan seorang bapa memberi nafkah kepada anak kandungnya tidak terputus apabila berlakunya perceraian, sekalipun ibunya telah berkahwin dengan lelaki lain. Adapun, bagi bapa tiri tidaklah menjadi kewajipan padanya untuk menanggung nafkah anak tirinya lebih-lebih lagi bapa kandungnya masih hidup dan berkemampuan. Jika telah meninggal dunia atau tidak berkemampuan, nafkah itu jatuh kepada keluarga sebelah bapanya, sebagai wali kepada anak tersebut. Tidak wajar jika puan meminta suami baru memberi nafkah kepada anak tirinya, melainkan dia sendiri redha dan ikhlas untuk membantu, maka pahalalah baginya. Kerana suami baru juga akan bertanggungjawab ke atas anak kandungnya sendiri (nasabnya). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.