Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Apakah dibolehkan mengutip derma melalui tabung bergerak seperti anak yang membawa uncang tabung di hadapan jemaah solat jumaat ketika khutbah sedang berlangsung?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3/2017 yang bersidang pada 27 April 2017 bersamaan 30 Rajab 1438H memutuskan bahawa: i. Jemaah hendaklah mendengar dan menghayati Khutbah Jumaat dengan sepenuhnya; ii. Harus menggerakkan tabung kutipan Jumaat ketika khatib membaca khutbah dengan syarat tidak menghalang para jemaah daripada mendengar khutbah; iii. Hasil kutipan digunakan untuk maslahah masjid seperti membayar bil-bil air, elektrik, pengimarahan, pembangunan dan penyelenggaraan masjid; dan iv. Petugas yang mengendalikan tabung kutipan atau multimedia hendaklah dipastikan tidak menghalang jemaah daripada mendengar dan memahami khutbah yang dibacakan. Rujukan link fatwa : http://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/koleksi_fatwa_xwarta/2017/5khutbahjum.pdf Justeru, jika anak-anak yang ditugaskan membawa uncang kecil untuk tujuan mengutip derma itu menghalang para jemaah daripada mendengar khutbah atau menghalang jemaah daripada mendengar dan memahami khutbah yang disampaikan atau terganggu dengan pergerakan mereka di hadapan jemaah, hukumnya adalah tidak harus. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.